Monday 30 April 2012

~Video P&P~


P&P telah dijalankan di Bilik Muzik Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang, Klang. Kelas yang terlibat ialah Kelas 2 Bestari. Proses P&P telah berjalan dengan lancar kerana telah mendapat kerjasama yang baik daripada murid-murid berbantukan alatan mengajar seperti peralatan perkusi (percussion) dan radio.

Saturday 21 April 2012

~LAGU MARI BERGERAK TAHUN 2 KSSR~


~LAGU TAHUN 2~

Salam semua !


Saya baru sahaja menyiapkan senarai lagu-lagu yang boleh dinyanyikan oleh murid dalam Pendidikan Muzik Tahun 2 di sekolah. Diharap informasi yang saya kongsikan ini dapat membantu anda semua !  (:

UNIT
JUDUL  LAGU
1
Mari Bergerak
2
See Saw
3
Bunyi Perkusi
4
Main Muzik
5
Tidurlah Adik
6
Ayam Didik
7
Isai Karuvigal
8
So Mi
9
Mari Mencari
10
Bintang Kecil
11
Pantun Jenaka
12
Come Sing With Me
13
Berlari Di Padang
14
See See See
15
Bunyi Di Ladang
16
See The Pony Galloping
17
Hidup Semut

Friday 20 April 2012

~RANCANGAN PENGAJARAN HARIAN MUZIK TAHUN 1 KSSR~



Mata Pelajaran dan Kelas
Dunia Muzik ( 1 Arif )
Tajuk/Tema
Aku dan Muzik
Masa
30 minit
Standard Pembelajaran
1.1.4
Objektif Pembelajaran
Pada akhir pembelajaran murid dapat:
     Ã¼  Menyanyi Lagu Selamat Pagi mengikut 
          tempo.
Aktiviti Pengajaran dan  Pembelajaran 
     1.    Murid mendengar lagu Selamat Pagi
      sambil menepuk detik dengan bimbingan 
      guru. 

              
     2.    Menyebut lirik lagu Selamat Pagi dengan 
           sebutan yang betul dengan 
           bimbingan guru.
     3.    Menyanyi lagu Selamat Pagi mengikut 
            tempo dengan bimbingan guru.
     4.    Menyanyi lagu Selamat Pagi mengikut 
           tempo. 
     5.    Menyanyi lagu Selamat Pagi mengikut 
           tempo sambil menepuk detik lagu.
Elemen Merentas Kurikulum (EMK)
      
      Kreativiti
Bahan Bantu Belajar    
     CD 1 Track 01 dan 02
Penilaian pengajaran   dan pembelajaran

Menyanyi mengikut tempo
Refleksi 
     1.    90%  murid dapat menyanyikan lagu 
            mengikut tempo. 
      2.   10% murid masih perlu di beri latihan 
            menyanyi mengikut tempo.
        
Tindakan Susulan
 Pengukuhan aspek tempo menerusi aktiviti gerakan dan permainan alat muzik dalam pengajaran dan pembelajaran akan datang

Monday 16 April 2012

~SUKATAN PELAJARAN~


Assalamualaikum, para pembaca semua..(:

Sebelum saya membanjiri blog saya dengan Rancangan Mengajar dan beberapa lagi aktiviti lain, saya ingin berkongsi tentang dokumen-dokumen Sukatan Pelajaran bagi mata pelajaran Pendidikan Muzik Tahap 1.

Sila klik pada pautan di atas untuk mengakses dokumen berikut. Dokumen-dokumen ini akan menjadi tunjang dalam P&P kita di sekolah.

~RASIONAL PENDIDIKAN MUZIK DIAJAR DI SEKOLAH~



   MUKADIMAH.  

Seorang guru muzik seharusnya dapat memberi rasional atau kewajaran yang meyakinkan mengapa subjek muzik patut diadakan di dalam kurikulum sekolah. Sekiranya guru Matematik atau Sains berbuat demikian untuk subjeknya dengan mudah, mengapa tidak guru muzik membuat hal yang sama? 


Muzik ialah satu saluran unik yang boleh menentukan tahap pencapaian mana-mana tamadun. Hal ini demikian kerana, segala bentuk seni termasuk muzik dapat membezakan tingkah laku manusia daripada makhluk yang lain. Malah, kajian-kajian dalam bidang arkeologi dan antropologi menunjukkan bahawa manusia pernah mengadakan pelbagai jenis aktiviti muzik sepanjang zaman. 



   RASIONAL PENDIDIKAN MUZIK DIAJAR DI SEKOLAH.  

1.  Muzik merupakan satu bidang yang kaya 
     dengan pelbagai jenis pengetahuan, 
     kemahiran dan cara-cara berfikir yang 
     berbeza dari zaman ke zaman dan dari satu 
     lokasi ke satu lokasi. Kebolehan bermain 
     alat muzik, menyanyi atau menghayati 
     muzik sama ada untuk menghiburkan diri 
     ataupun untuk perkembangan intelek 
     adalah wajar bagi setiap insan. 



2.  Salah satu matlamat pendidikan muzik 
     ialah mewariskan budaya sesuatu 
     bangsa termasuk warisan budaya 
     manusia pada masa silam kepada 
     generasi muda. Antara komponen 
     utama dalam mana-mana budaya ialah 
     amalan muzik bangsa itu sendiri. Oleh 
     itu, pengajaran muzik dianggap 
     sebagai satu wadah yang betul untuk 
     mencapai objektif ini.



3.  Melalui pengajaran muzik, guru dapat 
     mencungkil bakat terpendam yang 
     ada pada diri pelajar. Potensi dan 
     bakat yang ada pada murid sama 
     pentingnya dengan potensi dan bakat 
     lain seperti linguistik, yang mana 
     ialah boleh dicungkil pada peringkat 
     awal persekolahan. 



4.  Muzik merupakan salah satu mekanisme 
     untuk menyalurkan sumber tenaga kreatif 
     yang semula jadi. Muzik juga memberi 
     peluang kepada individu untuk  
     meluahkan perasaan secara sihat. 
     Dengan secara tidak langsung, individu 
     terbabit dapat mengurangkan tekanan 
     yang dihadapi seterusnya dapat 
     mengimbangi emosi mereka.



5.  Di dalam konteks masyarakat majmuk di 
     Malaysia, pembelajaran muzik di 
     sekolah-sekolah menjadi alat perpaduan 
     untuk mengeratkan lagi silaturrahim di  
     antara kaum Melayu, Cina, India dan 
     sebagainya supaya mereka boleh 
     bersatu dan menjalani kehidupan yang 
     muhibah.



6.  Pembelajaran muzik di sekolah-sekolah adalah satu 
     dimensi yang memberi peluang kepada pelajar untuk 
     mencapai kejayaan. Hal ini adalah kerana, setiap 
     murid mempunyai kecenderungan yang berbeza. 
     Tidak semua pelajar cemerlang dalam bidang 
     akademik. Sebahagian murid yang tidak berminat 
     dalam bidang akademik, mungkin cemerlang di 
     dalam bidang muzik.



~PERKEMBANGAN PENDIDIKAN MUZIK DI MALAYSIA~



   PENGENALAN.  

Sejarah pendidikan muzik di Malaysia bermula dengan penubuhan Penang Free School pada tahun 1816 oleh pihak British. Penubuhan sekolah ini menjadi perintis kepada penubuhan sekolah-sekolah Inggeris yang lain seperti di Kuala Lumpur, Melaka dan Ipoh, Perak. Dengan penubuhan sekolah-sekolah Inggeris ini, secara tidak langsung pembelajaran muzik telah mula diterapkan. pada masa itu, pembelajaran muzik cuma diadakan di dalam aktiviti ko-kurikulum dan jarang diadakan secara formal. Semasa kedatangan Jepun, mereka kurang memberi penekanan kepada pembelajaran muzik di sekolah. Bolehlah dibuat kesimpulan bahawa penjajahan British membawa bersama budaya orang British yang gemarkan muzik dan secara tidak langsung diterapkan ke dalam kebudayaan negara yang dijajah.


Penang Free School Pada Tahun 1816.



   PENDIDIKAN MUZIK DI ERA PENJAJAHAN.  

Pada era penjajahan British, pihak Inggeris telah berusaha dengan sengaja untuk memberi satu gambaran bahawa mereka adalah unggul dan hebat dalam semua aspek kehidupan seperti pendidikan undang-undang, perubatan, pentadbiran dan politik. Bermula pada tahun 1816, Penang Free School telah ditubuhkan diikuti dengan beberapa sekolah Inggeris yang lain seperti di Perak, Melaka dan Kuala Lumpur. Selari dengan pembukaan sekolah tersebut, pembelajaran muzik seperti koir dan pancaragam diadakan sebagai aktiviti ko-kurikulum pada masa itu.


Kumpulan Pancaragam.

Nyanyian lagu puisi berirama kanak-kanak diadakan semasa mata pelajaran Bahasa Inggeris. Pihak Inggeris telah menetapkan setiap sekolah Inggeris mesti mempunyai seorang guru yang pandai bermain piano atau mempunyai latar belakang formal tentang muzik. Selain daripada itu, nyanyian lagu kanak-kanak, seriosa atau rakyat dari Barat turut diadakan semasa pembelajaran bahasa Inggeris. Hal yang demikian adalah diharapkan para pelajar bertambah kukuh pemahamannya terhadap subjek Bahasa Inggeris itu sendiri. 


Piano

Penekanan tentang pembelajaran muzik cuma bertumpu kepada sekolah-sekolah vernakular beraliran Inggeris. Sekolah vernakular yang lain seperti sekolah Melayu, Cina dan India tidak menitikberatkan langsung subjek ini menyebabkan mereka ketinggalan jauh. 

Semasa penjajahan Jepun, mereka tidak memberi perhatian kepada subjek muzik. Apa yang berlaku ialah para pelajar dikehendaki menyanyi lagu-lagu patriotik Jepun seperti Lagu "Kimigayo" dan lagu rakyat Jepun. Namun, pendidikan muzik pada zaman pemerintahan Jepun jelas dipinggirkan dan tidak mempunyai kesan lantaran jangka masa penjajahan mereka yang singkat. Selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua, pihak British kembali semula memerintah Tanah Melayu. Pada masa itu, pelajar di sekolah vernakular dikehendaki menyanyikan lagu-lagu rasmi negeri bersama-sama lagu kebangsaan Britain, iaitu "God Save The King" dalam upacara perhimpunan sekolah.



Lagu Kebangsaan Jepun.

Pada tahun 1950-an, mata pelajaran muzik mula disiarkan oleh Radio Malaya, tetapi hanya bertumpu di sekolah-sekolah di bandar. Ketika itu, para pelajar dikehendaki pergi ke dewan sekolah bagi mengikuti siaran tersebut. Permainan alat-alat perkusi bagi mengiringi nyanyian turut diadakan di sekolah-sekolah Inggeris. Kumpulan-kumpulan koir, rekoder dan brass band mengambil tempat untuk membuat persembahan ketika hari ucapan, hari sukan dan ketika upacara sambutan kedatangan orang-orang kenamaan. Namun begitu, keistimewaan ini tidak dinikmati oleh sekolah-sekolah di luar bandar. 


   PENDIDIKAN MUZIK SELEPAS MERDEKA.  

Sekitar tahun 1960-an dan 1970-an, kumpulan pancaragam muzik serta angklung mula mendapat tempat di sekolah-sekolah mubaligh Kristian seperti Sekolah Anglo Chinese, Sekolah Convent dan Sekolah Methodist. Adalah menjadi kebanggaan jka sekolah-sekolah ini mempunyai pasukan koir atau pasukan pancaragam mereka sendiri. Dari sudut yang lain pula, sekolah-sekolah Melayu seolah-olah ketinggalan dan terpinggir sehinggalah sekitar tahun 1970-an, terdapat inisiatif untuk mengadakan pembelajaran muzik secara sampingan  di sekolah-sekolah tersebut. 


Victoria Institution, Kuala Lumpur.

Pada tahun 1972, subjek muzik telah menjadi subjek pilihan di dalam peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP). Sukatan pelajaran muzik SRP ini jelas mempunyai pengaruh dari sukatan pelajaran Associated Board of Royal Schools of Music (ABRSM), London. Pada tahun 1959, Maktab Perguruan Ilmu Khas di Kuala Lumpur telah ditubuhkan dan peranannya adalah untuk melahirkan guru-guru yang mempunyai kemahiran khas. Salah satu subjek yang ditawarkan ialah subjek Muzik. Guru-guru yang berminat di dalam bidang muzik dianggap layak untuk memasuki maktab ini. Sekitar tahun 1984, pendidikan muzik telah disediakan di peringkat diploma di Institut Teknologi Mara (ITM) di Shah alam yang kini dikenali sebagai Universiti Teknologi Mara (UITM). Berikutan timbul kesedaran tentang kepentingan muzik pihak ITM telah menyediakan satu pusat etnomusikologi untuk memperkembangkan muzik tradisional di Malaysia. 


Logo Institut Perguruan Ilmu Khas di Cheras, Kuala Lumpur.

Di samping itu, pendidikan muzik formal juga diajar oleh sektor swasta. Pengajaran piano dan gitar boleh didapati di kelas-kelas muzik swasta. Perkembangan ini sangat memberangsangkan dan kesedaran masyarakat tentang kepentingan muzik semakin bertambah. Walau bagaimanapun, hanya golongan yang berada dan mampu sahaja berpeluang untuk mendapat keistimewaan ini. Selain itu, perkembangan pendidikan muzik berkembang melalui latihan luar negara dalam bidang muzik. Kerajaan mula menghantar beberapa guru terlatih yang mempunyai minat dan kelayakan formasi dalam muzik di England untuk mengikuti kursus muzik peringkat diploma mulai tahun 1960-an.

Pada Disember 1990, sukatan pelajaran bagi kursus khas pendidikan muzik diselaraskan dengan subjek kursus asas. Oleh itu, semua bidang baharu tersebut seperti pedagogi muzik, penghayatan muzik, amali dan sejarah muzik diadakan buat pertama kalinya di Malaysia pada tahun 1991. 


   KESIMPULAN.  

Sejarah perkembangan muzik di Malaysia melalui pelbagai peringkat perkembangan yang akhirnya membawa kepada pengiktirafan dalam pendidikan formal di Malaysia. Subjek muzik mula ditawarkan di peringkat SRP dan berkembang hingga ke universiti tempatan dan institut-institut perguruan. Minat masyarakat terhadap muzik terutama dalam kehidupan sangat penting untuk menghilangkan ketegangan, memberi hiburan dan menjadi sumber rezeki kepada seseorang individu. Kesedaran tentang kepentingan mengekalkan muzik tradisi rakyat sudah mula dirasakan. Pihak-pihak tertentu turut berusaha memulakan program muzik tradisional sebagai aktiviti ko-kurikulum di beberapa sekolah yang terpilih di Malaysia agar ia terus berkembang dan mendapat tempat di hati masyarakat.