Monday 16 April 2012

~PERKEMBANGAN PENDIDIKAN MUZIK DI MALAYSIA~



   PENGENALAN.  

Sejarah pendidikan muzik di Malaysia bermula dengan penubuhan Penang Free School pada tahun 1816 oleh pihak British. Penubuhan sekolah ini menjadi perintis kepada penubuhan sekolah-sekolah Inggeris yang lain seperti di Kuala Lumpur, Melaka dan Ipoh, Perak. Dengan penubuhan sekolah-sekolah Inggeris ini, secara tidak langsung pembelajaran muzik telah mula diterapkan. pada masa itu, pembelajaran muzik cuma diadakan di dalam aktiviti ko-kurikulum dan jarang diadakan secara formal. Semasa kedatangan Jepun, mereka kurang memberi penekanan kepada pembelajaran muzik di sekolah. Bolehlah dibuat kesimpulan bahawa penjajahan British membawa bersama budaya orang British yang gemarkan muzik dan secara tidak langsung diterapkan ke dalam kebudayaan negara yang dijajah.


Penang Free School Pada Tahun 1816.



   PENDIDIKAN MUZIK DI ERA PENJAJAHAN.  

Pada era penjajahan British, pihak Inggeris telah berusaha dengan sengaja untuk memberi satu gambaran bahawa mereka adalah unggul dan hebat dalam semua aspek kehidupan seperti pendidikan undang-undang, perubatan, pentadbiran dan politik. Bermula pada tahun 1816, Penang Free School telah ditubuhkan diikuti dengan beberapa sekolah Inggeris yang lain seperti di Perak, Melaka dan Kuala Lumpur. Selari dengan pembukaan sekolah tersebut, pembelajaran muzik seperti koir dan pancaragam diadakan sebagai aktiviti ko-kurikulum pada masa itu.


Kumpulan Pancaragam.

Nyanyian lagu puisi berirama kanak-kanak diadakan semasa mata pelajaran Bahasa Inggeris. Pihak Inggeris telah menetapkan setiap sekolah Inggeris mesti mempunyai seorang guru yang pandai bermain piano atau mempunyai latar belakang formal tentang muzik. Selain daripada itu, nyanyian lagu kanak-kanak, seriosa atau rakyat dari Barat turut diadakan semasa pembelajaran bahasa Inggeris. Hal yang demikian adalah diharapkan para pelajar bertambah kukuh pemahamannya terhadap subjek Bahasa Inggeris itu sendiri. 


Piano

Penekanan tentang pembelajaran muzik cuma bertumpu kepada sekolah-sekolah vernakular beraliran Inggeris. Sekolah vernakular yang lain seperti sekolah Melayu, Cina dan India tidak menitikberatkan langsung subjek ini menyebabkan mereka ketinggalan jauh. 

Semasa penjajahan Jepun, mereka tidak memberi perhatian kepada subjek muzik. Apa yang berlaku ialah para pelajar dikehendaki menyanyi lagu-lagu patriotik Jepun seperti Lagu "Kimigayo" dan lagu rakyat Jepun. Namun, pendidikan muzik pada zaman pemerintahan Jepun jelas dipinggirkan dan tidak mempunyai kesan lantaran jangka masa penjajahan mereka yang singkat. Selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua, pihak British kembali semula memerintah Tanah Melayu. Pada masa itu, pelajar di sekolah vernakular dikehendaki menyanyikan lagu-lagu rasmi negeri bersama-sama lagu kebangsaan Britain, iaitu "God Save The King" dalam upacara perhimpunan sekolah.



Lagu Kebangsaan Jepun.

Pada tahun 1950-an, mata pelajaran muzik mula disiarkan oleh Radio Malaya, tetapi hanya bertumpu di sekolah-sekolah di bandar. Ketika itu, para pelajar dikehendaki pergi ke dewan sekolah bagi mengikuti siaran tersebut. Permainan alat-alat perkusi bagi mengiringi nyanyian turut diadakan di sekolah-sekolah Inggeris. Kumpulan-kumpulan koir, rekoder dan brass band mengambil tempat untuk membuat persembahan ketika hari ucapan, hari sukan dan ketika upacara sambutan kedatangan orang-orang kenamaan. Namun begitu, keistimewaan ini tidak dinikmati oleh sekolah-sekolah di luar bandar. 


   PENDIDIKAN MUZIK SELEPAS MERDEKA.  

Sekitar tahun 1960-an dan 1970-an, kumpulan pancaragam muzik serta angklung mula mendapat tempat di sekolah-sekolah mubaligh Kristian seperti Sekolah Anglo Chinese, Sekolah Convent dan Sekolah Methodist. Adalah menjadi kebanggaan jka sekolah-sekolah ini mempunyai pasukan koir atau pasukan pancaragam mereka sendiri. Dari sudut yang lain pula, sekolah-sekolah Melayu seolah-olah ketinggalan dan terpinggir sehinggalah sekitar tahun 1970-an, terdapat inisiatif untuk mengadakan pembelajaran muzik secara sampingan  di sekolah-sekolah tersebut. 


Victoria Institution, Kuala Lumpur.

Pada tahun 1972, subjek muzik telah menjadi subjek pilihan di dalam peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP). Sukatan pelajaran muzik SRP ini jelas mempunyai pengaruh dari sukatan pelajaran Associated Board of Royal Schools of Music (ABRSM), London. Pada tahun 1959, Maktab Perguruan Ilmu Khas di Kuala Lumpur telah ditubuhkan dan peranannya adalah untuk melahirkan guru-guru yang mempunyai kemahiran khas. Salah satu subjek yang ditawarkan ialah subjek Muzik. Guru-guru yang berminat di dalam bidang muzik dianggap layak untuk memasuki maktab ini. Sekitar tahun 1984, pendidikan muzik telah disediakan di peringkat diploma di Institut Teknologi Mara (ITM) di Shah alam yang kini dikenali sebagai Universiti Teknologi Mara (UITM). Berikutan timbul kesedaran tentang kepentingan muzik pihak ITM telah menyediakan satu pusat etnomusikologi untuk memperkembangkan muzik tradisional di Malaysia. 


Logo Institut Perguruan Ilmu Khas di Cheras, Kuala Lumpur.

Di samping itu, pendidikan muzik formal juga diajar oleh sektor swasta. Pengajaran piano dan gitar boleh didapati di kelas-kelas muzik swasta. Perkembangan ini sangat memberangsangkan dan kesedaran masyarakat tentang kepentingan muzik semakin bertambah. Walau bagaimanapun, hanya golongan yang berada dan mampu sahaja berpeluang untuk mendapat keistimewaan ini. Selain itu, perkembangan pendidikan muzik berkembang melalui latihan luar negara dalam bidang muzik. Kerajaan mula menghantar beberapa guru terlatih yang mempunyai minat dan kelayakan formasi dalam muzik di England untuk mengikuti kursus muzik peringkat diploma mulai tahun 1960-an.

Pada Disember 1990, sukatan pelajaran bagi kursus khas pendidikan muzik diselaraskan dengan subjek kursus asas. Oleh itu, semua bidang baharu tersebut seperti pedagogi muzik, penghayatan muzik, amali dan sejarah muzik diadakan buat pertama kalinya di Malaysia pada tahun 1991. 


   KESIMPULAN.  

Sejarah perkembangan muzik di Malaysia melalui pelbagai peringkat perkembangan yang akhirnya membawa kepada pengiktirafan dalam pendidikan formal di Malaysia. Subjek muzik mula ditawarkan di peringkat SRP dan berkembang hingga ke universiti tempatan dan institut-institut perguruan. Minat masyarakat terhadap muzik terutama dalam kehidupan sangat penting untuk menghilangkan ketegangan, memberi hiburan dan menjadi sumber rezeki kepada seseorang individu. Kesedaran tentang kepentingan mengekalkan muzik tradisi rakyat sudah mula dirasakan. Pihak-pihak tertentu turut berusaha memulakan program muzik tradisional sebagai aktiviti ko-kurikulum di beberapa sekolah yang terpilih di Malaysia agar ia terus berkembang dan mendapat tempat di hati masyarakat.

4 comments:

  1. terima kasih utk maklumat dan info. Izinkan saya buat bahan tugasan.

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  3. assalamualikum puan..sy berminat utk mengetahui sejarah kewujudan awal muzik sebagai subjek di sekolah. saya di beritahu oleh kawan sy bahawa trdapat 20buah sekolah terawal yg terpilih utk diterapkan muzik sebagai subjek (as a experimental-based). bolehkah sy tahu apakah 20buah sekolah terawal yg terpilih itu.

    ReplyDelete
  4. assalamualaikum, puan, boleh tolong senaraikan sumber yang digunakan untuk artikel ini. saya ingin membuat bacaan lanjut mengenai sejarah muzik negara ini. terima kasih.

    ReplyDelete